Thursday, July 23, 2009

I am selfish

Masuk dua minggu semester baru bermula. Hati aku makin lapang, kadang terasa tak pernah selapang ini. Satu tanggungjawab yang pernah aku galas sebagai bebanan, pernah juga aku galas dengan keikhlasan, sudah pun berakhir. Bukan bererti tiada tanggungjawab dan bebanan lain, tapi aku merasa seolah-olah ada ruang dalam otak yang selama ini sempit mula meluas. Sudah ketentuan Tuhan, sudah pun tersurat dalam episod hidup aku yang singkat ini yang mana pengakhiran bagi sebuah tanggungjawab itu begitu menyakitkan. Ya, aku terpaksa menyifatkannya sebagai 'sakit'.

Bila aku fikir-fikir kembali, mungkin sebagai kifarah bagi kesakitan-kesakitan yang telah aku beri kepada insan-insan lain yang tak bersalah dalam hidupku; kerana tanggungjawab yang aku pikul itu, atau lebih tepat lagi, adalah kerana aku. Tidak wajar kiranya aku menyalahkan tanggungjawab itu. Lihat saja insan lain yang berjaya, tetapi tidak pula mendapat perjalanan seperti ini. Sesungguhnya kesalahan itu letaknya pada diri ku seadanya. Kekhilafan dan kelemahan diri aku lah yang buat keadaan jadi begitu dan begini. Ampuni aku, Tuhan. Wahai alam, sampaikan kemaafan aku pada mereka, dia dan dia walau di mana mereka berada.

Perkara yang telah pun terjadi, aku ambil sebagai pengajaran dan buat aku lebih kenal sifat makhluk yang tak mungkin menyamai Khaliq, walau sedaya apapun seorang makhluk mencuba. Semakin aku fikirkan, semakin aku insaf dengan diri, semakin aku nampak kebesaran Pencipta- Khaliq. Berkali-kali aku berbisik pada hatiku untuk meyakini satu hal; yang paling penting adalah pandangan Allah padaku, bukan pandangan manusia yang tak bawa erti apa-apa.

Aku tak pernah minta dihargai, disanjungi atau diingati. Tak sekali aku merasa diri dalam kebenaran. Aku sedar aku banyak kekhilafan dan aku hanyalah manusia. Tapi aku juga tak pernah ingin dikhianati. Aku punya perasaan walau aku bertindak diam. Aku juga terluka walau aku tidak menangis. Luka aku mungkin lebih dalam dari engkau, engkau dan engkau yang menangis dan bersumpah seranah. Tuhan lebih Tahu, sesungguhnya aku hanya makhluk yang bersifat makhluk.

Konklusi aku satu, perkara lepas tak usah di panjang-panjangkan lagi. Tak perlu berperang dengan segenap hadith dan ayat Allah untuk menjatuh-jatuhkan orang lain, dengan entah apa konon alasannya. Cukuplah, biar Allah sahaja putuskan hukuman atau ganjaran bagi kita. Ingat, kita hanya makhluk.


"Kunci pada taubat yang berjaya tidaklah hanya berazam untuk meninggalkan dosa.. Tetapi memikirkan apa yang menyebabkan dosa itu dan mengambil langkah positif mengelakkan sebab-sebab dosa" (Shaykh Faraz Rabbani)